Sunday, February 15, 2009

Karangan Naratif

"Rizal!"

Aku menoleh ke belakang. Rakan-rakanku berlari mendapatkanku. Aku berhenti berjalan dan tersenyum.

"Kamu hendak ke mana? Kamu mahu main bola bersama kita?" kawan-kawan sedarjahku mengajak dengan penuh ghairah.

"Tak mengapalah. Aku mahu ke perpustakaan," aku menolak ajakan mereka dengan baik.

"Baiklah, Rizal. Jumpa esok!" Mereka melambaikan tangan mereka dan beredar dari situ.

Aku pun kemudiannya meneruskan perjalanan ke tempat yang sepatutnya aku tuju.

"Eh,siapa lelaki itu?" hatiku bertanya.

Aku terlihat seorang lelaki yang tidak dikenali berlari lintang-pukang, keluar dari makmal sains sekolah.

"Mungkin pembantu makmal baru..." hatiku berkata.

Aku enggan berfikir lama tentang hal itu. Aku mahu ke perpustakaan sekolah untuk menyelesaikan kerja sekolah yang semakin bertimbun-timbun.

"Boom!" satu bunyi letupan membuatkan berdiri terpaku di koridor. Kemudian, aku terdengar suara seorang wanita menjerit meminta tolong. Aku kenal suara itu.

"Puan Asmah!" Aku terpekik apabila aku sedar siapa itu.

Mataku meliar ke kanan dan kiri, mencari-cari arah dari mana bunyi letupan dan suara itu datang. Aku terlihat kepulan-kepulan asap kelabu, keluar dari pintu makmal yang terbuka luas.

Aku pun bergegas ke luar makmal sains dan cuba melihat keadaan di dalamnya melalui tingkap. Namun begitu, aku gagal kerana kepulan asap agak tebal. Aku pun bertekad untuk masuk ke dalam. Aku tidak akan membiarkan Puan Asmah di dalam begitu sahaja. Aku menutup mulut dan hidungku dengan telapak tanganku dan masuk ke dalam. Namun, keadaan di dalam makmal tersebut lebih teruk daripada apa yang aku jangkakan. Penglihatanku menjadi kabur dan mataku mula terasa pedih akibat asap kelabu yang agak tebal.

" Tolong...Uhuk!Tolong!" Puan Asmah cuba menjerit meminta tolong sambil terbatuk-batuk.

Aku cuba untuk meneka dari mana datangnya suara tersebut. Aku cuba mengingat kembali peta makamal sains itu dan setelah meraba-raba aku menggunakan meja makmal sebagai panduan untuk aku bergerak. Akhirnya,aku dapat menemui Puan Asmah yang sudah lemah terbaring di lantai. Aku mendapatkannya dan membantunya keluar dari makmal. Memandangkan kepulan asap lebih tebal di bahagian atas udara, kami membongkok sambil berjalan keluar. Pada masa yang sama, alat penggera kececemasan telah digiatkan. Semua yang masih ada di dalm kawasan sekolah telah diarahkan supaya berkumpul di padang sekolah. Pihak sekolah juga telah menghubungi bomba dan ambulans. Aku hampir-hampir berputus asa tetapi apabila aku terlihat kelibat beberapa ahli bomba, semangatku kembali. Kemudian, ahli-ahli bomba tersebut bergegas mendapatkan kami yang sudah lemah dan kesesakan nafas. Aku dan Puan Asmah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Pihak polis juga telah datang untuk mendapatkan keterangan.

Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki telah diberkas oleh pihak polis . Lelaki tersebut adalah lelaki yang telah menyebabkan letupan di makmal sains sekolahku.

"Cut!!! Bagus semua!" Puan Lim berkata.

Aku menghela nafas lega. Sebenarnya, kami sedang merakamkan sebuah video untuk ditayangkan kepada seluruh sekolah sempena Hari Pertahanan Mutlak. Aku, bersama beberapa murid dan guru lain, telah dipilih untuk melibatkan diri dalam rakaman tersebut. Video tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua guru dan pelajar akan pentingnya persediaan kita untuk menghadapi apa jenis kecemasan pun. Setelah rakaman, yang kelihatan seperti benar-benar berlaku itu, aku lebih yakin, bersedia dan sedar akan kepentingan pertahanan mutlak dan cara untuk menghadapinya.

Siti Aisyah Bte Sahrol
4L1

Sunday, January 18, 2009

Karangan

Dahulu lain... Sekarang lain... Daripada sebuah kedai kecil yang bermula dengan menjual air dan dadih kacang soya di pusat gerai makanan, di People's Park Food Centre, syarikat Mr Bean telah berjaya berkembang pesat dan sekarang memiliki 50 cawangan di serata negara Singapura. Mr Bean telah berjaya memikat hati dan cita rasa ramai pelanggan berbagai usia, termasuk remaja dan juga orang yang lebih tua.Oleh kerana Mr Bean telah mendapat sambutan yang menggalakkan, tidak hairanlah apabila Mr Bean memenangi jenama terbaik buat tiga tahun berturut-turut dalam majlis anugerah anjuran Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (Asme), baru-baru ini. Mr Bean juga telah memenangi anugerah jenama paling popular hasil undian masyarakat umum.

Kejayaan Mr Bean terhasil kerana ada tersematnya sifat kuat semangat dan juga berfikiran terbuka dan positif di dalam diri pemilik bersama dan pengarah pengurusan Mr Bean, Encik Kang Puay Seng dan rakan niaganya, Encik Loh Jwee Poh . Ketika baru memulakan perniagaan, Encik Kang dan Encik Loh hanya mempunyai seorang pekerja sahaja. Kini, Mr bean menggajikan lebih dari 420 orang. Dengan adanya bilangan pekerja seramai itu, tentunya pulangan daripada perniagaan tersebut akan bertambah. Bilangan pekerja seramai itu juga dapat menyediakan jumlah produk yang banyak dalam jangka masa yang pendek.

Daripada hasil pemerhatian dua rakan niaga itu, mereka dapati bahawa ramai yang sebenarnya gemar minum air dan makan dadih kacang soya. Kedua-dua rakan niaga itu pun bercadang untuk memasarkan produk-produk mereka di tempat-tempat yang sering dikunjungi masyarakat seperti pusat membeli-belah dan stesen-stesen MRT. Encik Kang dan Encik Loh sentiasa ingin mencipta sesuatu yang unik dan baru untuk menarik perhatian lebih ramai pelanggan. Oleh itu, untuk menghasilkan produk yang baru dan yang bermutu tinggi, mereka harus menggunakan teknologi yangg tinggi, menggunakan bahan-bahan yang bermutu, menambahkan perisa dan mempelbagaikan produk-produk yang mereka pasarkan. Walaupun penyelidikan dan pembaharuan yang dilakukan memerlukan ongkos yang tinggi, ia amat berbaloi kerana pulangannya tinggi. Contohnya, mereka menjual biskut dan ais krim kacang soya yang rendah lemak. Selain itu, mereka juga menggantikan santan dan susu ,dalam pelbagai produk, kepada kacang soya, lantas membuatkannya lebih berkhasiat.Lantas, produk-produk yang dijual di Mr Bean dapat menarik perhatian lebih ramai orang lebih-lebih lagi mereka yang amat teliti dalam cara pemakanan mereka. Dari segi pembaharuan, Mr Bean telah melancarkan lempeng ala Jepun yang berperisa kacang, keju dan sebagainya.

Manfaat yang dapat diperoleh daripada perniagaan ini adalah keuntungan ynag tinggi, ruang pekerjaan semakin meningkat dan masyarakat umum akan lebih sedar akan manfaat dan khasiat kacang soya. Mr Bean menawarkan pekerjaan baru di syarikat mereka bagi mereka yang telah diberhentikan kerja. Oleh itu, jumlah orang ynag menganggur dapat dikurangkan. Encik Kang dan Encik Low percaya bahawa jika mereka menolong orang lain, tentunya mereka akan dibalas berlipat kali ganda.

Ada beberapa sifat yang patut orang ramai contohi daripda dua rakan niaga tersebut. Pertama, manusia harus berani keluar dari ruang selesa mereka dan melakukan sesuatu yang positif yang tidak pernah atau jarang orang lakukan. Contoh yang terdapat daripada dua rakan niaga tersebut ialah, mereka berani menjelajah keluar dan membuka kedai kedua mereka di Hougang Mall walaupun mereka sedar risikonya agak tinggi. Kedua, manusia harus berfikiran terbuka iaitu harus mendengar dan menerima fikiran dan pandangan orang lain supaya mereka dapat memperbaiki diri mereka sendiri dan juga apa-apa kerja yang mereka lakukan dan yang terakhir sekali mereka tidak sombong malah merendahkan diri walaupun mereka sudah berjaya ibarat peribahasa seperti buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang makin lama makin tinggi.

" Sesuatu perjalanan itu jauh.Banyak cabaran harus dilalui. Oleh kerana itu, seseorang yang hendak berjaya tidak boleh berputus asa dengan cepat..."

Tidak hairanlah kenapa kedua-dua rakan niaga ini dapat berjaya dan bertahan hingga sekarang!


Siti Aisyah Bte Sahrol 4L1

Sunday, January 11, 2009

Respons Perbadi Terhadap Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ( TKVDW)

Pada pendapat saya, novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah satu novel yang menyentuh hati. Ia menceritakan tentang seorang lelaki bernama Zainudin yang sudah lama berhasrat untuk pulang ke kampung halaman arwah ayahnya. Di Padang Panjang, Zainudin jatuh hati dengan Hayati. Kemudiannya, mereka sering berkomunikasi melalui surat-surat. Namun begitu, salah seorang rakan Hayati, telah mengahasut Hayati supaya lupakan sahaja Zainudin dan kahwin sahaja dengan abangnya, Aziz. Lamaran Aziz diterima dan Zainudin dan Hayati Terpaksa memutuskan percintaan mereka. Setelah Aziz dan Hayati jatuh miskin, mereka menumpang di rumah zainudin. Sebelum meragut nyawanya sendiri, aziz telah mengirimkan surat kepada Zainudin supaya dia menerima hayati semula. Tetapi dia hanya sedar bahawa dia masih cintakan hayati hanya selepas hayati telah pergi dan menaiki kapal tersebut yang kemudiannya tenggelam. Zainudin bertemu dengan hayati di hospital sebelum hayati menghembuskan nafasnya yang terakhir...tidak lama kemudian, Zainudin pun meninggal dunia. Jenazah Zainudin dikuburkan di sisi pusara Hayati. Cerita ini sebenarnya amat menarik. Walaupun , pada mulanya agak susah untuk difahami cerita tersebut, tetapi semakin dibaca, semakin senanglah untuk difahami...

.::Kerjaya Pilihan Saya::.

Apakah kerjaya pilihan anda?

Apakah ruang lingkup tugasnya?

Apakah kemahiran yang diperlukan?
- kemahiran am
- kemahiran khusus

Bagaimanakah persediaan anda sekarang untuk menjawat/menyandang kerjaya tersebut pada masa hadapan?

Apakah manfaatnya?
- gaji
- kepuasan diri
- nyatakan beberapa ganjaran yang kamu ketahui

Apakah sumbangan kerjaya pilihan dalam pembangunan negara dan bangsa?



Kerjaya. Apakah sebenarnya maksud perkataan ‘kerjaya’ itu? Ada yg mempunyai pendapat bahawa kerjaya itu adalah perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan kehidupan. Ramai pula yang bertanggapan bahawa kerjaya adalah profession atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah. Maksud yang kedua ini adalah yang paling lazim yang kita dengar kerana ramai yang bekerja untuk mendapatkan nafkah untuk menampung kos kehidupan mereka yang tinggi. Terutama sekali bagi mereka yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Tentunya, mereka mahukan hidup yang selesa, mahukan makan yang secukupnya dan bagi ibu bapa pula mereka pasti mahu anak-anak mereka ke sekolah dan mempunyai kerjaya tetap yang bergaji besar apabila dewasa kelak. Namun begitu, setiap individu mempunyai persepsi yang berlainan. Pemilihan kerjaya itu juga terpulang kepada setiap individu itu sendiri kerana ia bergantung kepada minat mereka.

Kerjaya pilihan saya adalah untuk menjadi seorang doktor. Sebenarnye dari sejak kecil lagi saya bercita-cita ntuk menjadi seorang guru.Walau bagaimanapun, cita-cita seseorang itu oleh berubah-ubah dan pada masa sekarang kerjaya pilihan saya adalah untuk menjadi seorang doktor.

Menurut kamus dewan, doktor ialah orang yang berkelayakan (bertauliah) mengamalkan perubatan. Seseorang itu memerlukan kerja keras dan usaha yang gigih untuk beberapa tahun lamanya untuk berjaya menjadi seorang doktor. Semua persiapan harus bermula daripada sekarang. Saya juga perlu memantapkan asas- asas mata pelajaran seperti Biologi, Kimia, Fizik, bahasa Inggeris dan juga Matematik. Buat masa sekarang, saya harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan peringkat ‘O’ pada tahun ini. Perlu bagi saya untuk menguasai dan memahami mata pelajaran yang bekenaan untuk membantu saya mencapai kerjaya pilihan saya. Amatlah penting bagi saya juga untuk mendapatkan gred yang memuaskan bagi kesemua mata pelajaranku. Ini adalah kerana ada ramai yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Oleh kerana itu, ia menjadi seperti suatu perlumbaan untuk berjaya kerana hanya yang terbaik sahaja yang layak untuk menjadi seorang doktor.

Di sekolah perubatan dan universiti, mereka yang ingin menjadi doktor harus menghadiri pelbagai kursus-kursus Sains. Banyak masa yng akan diluangkan di dalam kelas dan juga kelas kuliah. Mereka juga akan diberi peluang untuk untuk bekerjasama dengan pihak hospital, di mana mereka akan bekerja dengan dokto-doktor yang bertauliah dan juga pesakit. Semua ini akan dilakukan di bawah bimbingan dan penyeliaan doktor-doktor yang berpengalaman.

Sebelum menjadi seorang doktor, saya harus fasih berbual dalam pelbagai bahasa yang lazim digunakan di Singapura seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Melayu. Saya juga harus bijak berbual dengan pesakit di semua peringkat umur, baik yang kanak-kanak, orang dewasa mahupun warga emas. Saya juga perlu membiasakan diri dengan istilah-istilah perubatan yang sering digunakan. Sebagai seorang doktor kelak, saya akan merawat pesakit-pesakit dengan sebaik, secepat dan juga sedaya mungkin. Saya juga boleh menasihatkan mereka tentang cara pemakanan yang betul dan senaman. Jika tercapai cita-cita saya suatu hari nanti, saya ingin cuba mencari penawar bagi segala macam penyakit.

Ada dua jalan yang boleh saya pilih kelak iaitu pertama, menjadi seorang doktor perubatan yang pakar dalam mengubati pelbagai penyakit dan kecederaan dan kedua, doktor dalam bidang osteopathy. Doktor osteopathic adalah doktor yang pakar tentang otot dan tulang.

Seorang doktor itu haruslah bersedia untuk mengorbankan masanya kerana kebanyakkan doktor harus bekerja waktu yang panjang dan tidak menentu. Doktor-doktor seringkali harus bergegas ke hospital apabila timbulnya kes-kes kecemasan.

Manfaat yang dapat saya peroleh daripada kerjaya sebagai seorang doktor ini, boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu dari segi gaji dan juga kepuasan diri. Gaji yang diperoleh oleh seorang doktor itu amatlah tinggi tetapi ia juga bergantung kepada pengalamannya, berapa jam mereka bekerja dan sebagainya. Selalunya, doktor-doktor pakar akan mendapat gaji yang lebih besar jika dibandingkan dengan doktor-doktor umum. Saya juga akan memperoleh kepuasan diri setelah dapat merawat dan memulihkan pesakit.

Sebagai seorang doktor nanti, saya ingin menyumbang kepada bangsa dan negara Singapura. Saya ingin membantu memulihkan orang daripada penyakit yang mereka alami dan bersedia membantu Singapura di saat-saat yang memerlukan dan kecemasan seperti semasa wabak SARS beberapa tahun yang lalu.

Siti Aisyah Bte Sahrol
4L1

ais_blue@hotmail.com

Monday, July 28, 2008

Sastera

AKU MENJADI LEBIH BERANI
Makna:

Stanza yang pertama menggambarkan bahawa penyajak sedang berada di alam sebuah perkelahian. Ini dapat dibuktikan dari baris kedua dan ketiga rangkap pertama, "kau berbaju biru dan bajuku ungu". Baju biru dan ungu yang berbeza warna melambangkan bahawa penyajak sedang bermusuhan dengan seseorang rakannya dan mereka mempunyai pendirian yang bercanggah.
Seterusnya, dalam rangkap yang sama baris keempat hingga keenam "Sayang, hanya aku tahu hatimu tak setulus hatiku", saya dapat agak bahawa penyajak tidak suka kepada musuh penyajak itu. Frasa "hanya aku" di mana perkataan "aku" merujuk kepada penyajak menyatakan penegasan penyajak bahawa dia begitu kenal dengan perangai musuhnya itu dan hanya dia sahaja yang mengetahui perangainya yang selalunya tersembunyi dari pandangan orang lain itu. Ini kerana penyajak berpendapat bahawa musuh itu tidak mempunyai hati yang seikhlas hati orang lain.
Baris terakhir dalam rangkap tersebut "yang berbaju ungu" membuktikan bahawa penyajak sedang menekankan sekali lagi bahawa musuhnya itu berbaju biru, iaitu dia tidak menyebelahi dirinya yang berbaju biru.
Mengikut stanza kedua, baris kedua ialah "sebilah pisaumuaku tidak gentar". Penyajak telah menggunakan pisau sebagai simbol bagi ugutan yang ditujukan oleh musuh kepada penyajak.
Namun, dia tidak takut dengan ugutan musuhnya malah dia mencabar musuhnya setelah berasa tersinggung dengan kata-kata pedas yang diucapkan oleh musuhnya itu, dapat dipetik dari baris ketiga hingga kelima "sepatah kata bisa, aku merasa".
Pada rangkap terakhir, "Hati dan rasa mengajarku, aku menjadi lebih berani" menegaskan jugake beranian yang timbul setelah mempelajari sikap yang harus dia ambil daripada sengketa yang dia hadapi itu. Penyajak bertambah berani memutuskan sendiri sikapnya yang tegas itu setiap waktu pada masa hadapan ekoran daripada persengketaan sedemikian.
Gaya Bahasa:
Terdapat pelbagai jenis gaya bahasa di dalam sajak ini.:
a) i) Aliterasi 'b' yang terdapat dalam rangkap pertama septian pada baris yang kedua iaitu "berbaju biru". Kedua-dua perkataan tersebut mempunyai dua konsonan 'b' pada awal suku kata iaitu "ber" dan "ba" dalam perkataan "berbaju" dan "bi" dalam perkataan "biru".
ii)Satu lagi aliterasi terdapat di rangkap kedua quint baris pertama "bila begini", di mana adanya aliterasi 'b'.
b)Baris yang sama "bila begini" juga mempunyai unsur asonansi, di mana vokal 'i' dalam suku kata "bi", "gi" dan "ni" mempunyai bunyi yang sama.
a)iii)Dalam rangkap yang sama baris kedua pula. aliterasi juga boleh didapati dalam "sepatah kata". Bunyi vokal "a" ada pada suku kata "pa" dan "tah" dalam perkataan "sepatah" serta "ka" dan "ta" dalam perkataan "kata".
c) Klise
Frasa "sepatah kata" juga merupakan sebuah klise yang kerap digunakan dalam bahasa.
Sinkof "mu" dapat diperlihatkan di dalam perkataan "pisaumu" yang ada pada rangkap kedua baris kedua, serta sinkof "ku" yang terdapat dalam perklataan "bajuku" pada rangkap pertama baris kedua. "Hatimu tidak setulus hatiku" merupakan eufumisme kerana ia adalah cara yang lebih sopan untuk menyampaikan maksud bahawa hati seseorang itu adalah busuk. Terdapat dua simbol, iaitu dalam rangkap pertama baris kedua dan ketiga di mana penyajak telah menggunakan baju untuk melambangkan pula ugutan dari musuhnya itu. Akhirnya, rangkap ketiga distikon baris pertama "Hati dan rasa mengajarku" merupakan personifikasi. Hati dan rasa telah merupai perbuatan manusia iaitu mengajar, sesuatu yang mustahil berlaku.
Tema dan Persoalan:
Sajak ini bertemakan ketabahan,ia menyatakan keberanian seorang wanita dalam mengharungi cabaran seperti pergaduhan yang sedang dialaminya itu. Dari stanza yang pertama, kita dapat mempelajari bahawa seperti pepatah rambut sama hitam, hati lain-lain, manusia tidak serupa dalam segi pemikiran dan perangai, seperti penyajak dan musuhnya itu yang bergaduh kerana perbezaan mereka. Stanza kedua pula menjelaskan bahawa tentu ada kejadian yang tidak diundang berlaku seperti ugutan dan kata-kata sindiran, seperti yang dialami penyajak. Semua kejadian yang berlaku tentu terdapat sesuatu hikmah atau makna yang tersirat disebaliknya seperti yang dikemukakan pada stanza terakhir, di mana penyajak telah menjadi lebih berani untuk menghadapi cabaran semasa pergaduhan itu.

Sastera


Manusia dan Kesejahteraan
Salmi Manja
Tema
: Kerosakan akhlak manusia zaman ini.
Stanza1:Kelelahan kita semakin parah tenatnya
Berserta kekejaman mengatasi kedamaian
Titik pertemuan menjadi tentangan
Tak siapa mau beralah
Makna: Pada masa kini, orang lebih menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah dan untuk mencapai keamanan. Apabila berhimpun ataupun berkumpul, pertelingkahan akan tercetus kerana tiada pihak yang mahu 'beralah'.Semua mahu menang ataupun mahu mendengar cakapnya sendiri.
Persoalan: Tentang bagaimana manusia mahu mendapatkan kedamaian di tengah-tengah perlumbaan mengejar kuasa dan kekayaan.
Gaya bahasa: -Asonasi:Kelelahan kita semakin parah tenatnya
-Aliterasi:Kelelahan kita
-Sinkof:Tak, Mau
-Ambiguiti:Kelelahan kita semakin parah tenatnya
Stanza2: Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan
Janjikan harapan semanis janji orang bercinta
Setiap pembicaraan tanpa persatuan
Kejujuran mati di hati
Makna: Pada masa ini, tiada sesiapa yang 'sanggup bersemboyan' iaitu mengambil inisiatif agar manusia di dalam dunia ini hidup bersepadu dan berakhlak tetapi setiap kali mereka cuba mereka gagal. Manusia hanya pandai berjanji tetapi tidak pintar menunaikannya. Malah, mereka membuat sesuatu keputusan itu tanpa perbincangan terlebih dahulu. Ayat terakhir, 'Kejujuran mati di hati', menunjukkan bahawa sifat jujur itu seperti tidak wujud lagi.
Gaya bahasa:-Metafora:Janjikan harapan semanis janji orang bercinta
-Asonasi:mati di hati
Stanza3: Hari ini tak payah parau bertanya
Ketuaan dunia akan tenggelam juga
Dalam kebodohan manusia
Yang kian bermuka dua
Makna: Manusia tidak perlu lagi bersusah payah sehingga penat menanyakan sesuatu kerana pada akhirnya kebodohan manusia akan menghasut dan mempengaruhi kebaikan bumi ini. Perkataan 'tua' boleh menjadi simbol bahawa seseorang itu jika lebih tua, lebih berpengalaman dan berguna. Maka, 'ketuaan dunia akan tenggelam juga dalam kebodohan manusia' membawa maksud bahawa manusia kini tidak memanfaatkan penggunaan bumi ini lagi.
Persoalan: Kebodohan manusia akan menjejas kebaikan bumi.
Gaya bahasa:-simbol:'ketuaan dunia', 'parau bertanya'
-Sinkof: Tak
-Asonasi: tak payah parau bertanya
-Klise:bermuka dua
Stanza4: Demi kelak dewasanya anakku
Kau bikinlah perhitungan sendiri
Untuk menjengah neraka kecintaan manusia
Mencucuri bahan api neraka
Makna: Di dalam stanza ini, saya dapat tukil bahawa dia mahu memberitahu anaknya, bahawa jika dia sudah dewasa, dia haruslah memilih atau membuat keputusan sendiri. Mereka harus memilih sama ada mahu mengunjungi 'neraka kecintaan manusia' serta menjadi ahli kepada neraka manusia ataupun bumi yang penuh dengan manusia yang telah rosak akhlak mereka itu.
Persoalan: Menyuruh anaknya membuat keputusan agar mahu mengikut sesuatu yang bersalahan dengan tuntutan agama di dalam bumi yang sudah penuh dengan penghuni yang rosak akhlaknya.
Gaya bahasa: -Simbol:'neraka kecintaan manusia'
-Paradoks: 'neraka kecintaan manusia'
Stanza5: Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD!
Tambah mengimbau sorotan kitab ESA!
Hanya kesejahteraan membunga api.
Makna: Semakin kita mempelajari dan mengamalkan ajaran kitab suci, semakin kita mendambakan kehidupan yang aman sejahtera.
Persoalan:Perihal mengikut arahan Islam ke arah kesejahteraan.
Gaya bahasa:-Asonasi: Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD!

Sastera

Mengupas Sajak 1 : Anak Laut oleh Rahimidin Zahari

Rangkap 1 :
Segar angin laut
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dan sisik ikan
kulit ketam
kepala sotong
dan
kaki udang yang bersimpati

  • Penulis rindu akan masa silamnya yang sering ke laut untuk mencari rezeki walaupun ia hanya sedikit.
  • Laut itu sudah tidak berguna lagi untuk dijadikan sumber rezeki kerana tinggal beberapa kehidupan laut sahaja di laut itu

Ayat "mengembalikan rindunya pada laut" menunjukkan kerinduan nelayan itu kepada kolek tersebut.
Ayat "sisik ikan kulit ketam kepala sotong dan kaki udang yang bersimpati" pula menujukkan keadaan laut itu yang hanya tinggal yang tidak berguna lagi kerana hanya tinggal sebahagian anggota-anggota badan kehidupan di dalamnya.

Rangkap 2 :
Seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan uarat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada mura Pencipta

  • Menceritakan bagaimana penulis ini tahu bahawa dia sudah tua seperti laut tersebut dan tidak lama lagi dia akan kembali kepada IIlahi.

Ayat "Seperti kolek terdampar di pasir menampakkan jalur-jalur tua" menunjukkan akan usia nelayan tersebut yang sudah tua.
Ayat "langkahnya hampir tiba pada muara Pencipta" pula menunjukkan singkatnya waktu yang tinggal pada kehidupan nelayan itu kerana tidak lama lagi, dia akan pergi menghadap yang Maha Esa.

Gaya bahasa:


  • Segar angin laut mengembalikan rindunya pada kolek (rangkap 1;baris 1 & 2) - Personifikasi
  • bagai buih kecil terapung di air (rangkap 1;baris 3) - Simili
  • bagai buih (rangkap 1;baris3) - Aliterasi
  • Seperti kolek terdampar di pasir (rangkap 2;baris 1) - Simili
  • Seperti kolek terdampar di pasir menampakkan urat jalur-jalur tua (rangkap 2;baris 1 & 2) - Personifikasi
  • jalur-jalur (rangkap 2;baris 2) - Kata Ganda
  • jalur-jalur tua (rangkap 2;baris 2) - Hiperbola
  • anak laut itu sudah dapat menerka (rangkap 2;baris 3) - Personifikasi
  • kulit ketam (rangkap 1;baris 6) - Aliterasi